AKSI  Richarlison menjaringkan gol kemenangan  Everton. FOTO AFP
AKSI Richarlison menjaringkan gol kemenangan Everton. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Everton mencerahkan peluang untuk menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana selepas menewaskan Southampton 1-0, awal pagi tadi.

Skuad Carlo Ancelotti menang kali pertama dalam enam aksi liga di tempat sendiri hasil jaringan awal Richarlison.

Kemenangan terakhir Everton di Goodison Park ialah ketika menentang Arsenal sebelum Krismas tetapi mereka menamatkan tiga kekalahan berturut-turut di tempat sendiri sekali gus kini hanya dua mata di belakang pasukan di tangga keempat West Ham.

Toffees yang menduduki tangga ketujuh beraksi kurang satu perlawanan berbanding West Ham, Liverpool dan Chelsea yang berada di atas mereka.

Masih segar selepas menewaskan Liverpool 2-0 yang juga kemenangan pertama ke atas pencabar Merseyside di Anfield sejak 1999, Everton berpeluang cerah mara ke Liga Juara Juara menerusi slot empat teratas.

"Ia minggu sangat bagus, saya amat hargai kerjasama berpasukan. Kami juga fokus pertahanan dan kombinasi barisan depan. Prestasi mantap dan kami memang berhak menang,'' kata Ancelotti.

"Untuk mendapatkan tiket Eropah kami perlu perbaiki aksi di tempat sendiri. Prestasi seperti ini boleh membantu kami. Menjadi impian berada empat teratas di penghujung musim dan kami dalam landasan tepat.''

Selepas muncul pendahulu liga pada kali pertama sejak 1988 padaNovember lalu, prestasi Southampton terus merudum dan kini hanya tujuh mata di atas zon penyingkiran.

Southampton tidak menang dalam sembilan aksi terakhir liga dengan lapan kekalahan sejak menewaskan Liverpool pada Disember lalu.

Pengurus Saints, Ralph Hasenhuttl berkata: "30 mata tidak cukup untuk kekal dalam liga. Kami perlukan mata. Memasuki babak kedua, kami seperti tidak jumpa gawang lawan dan sukar untuk menang dalam situasi itu."

Dengan pemain tengah Brazil, Allan tampil kali pertama sejak Disember lalu akibat kecederaan hamstring, Everton tampak lebih garang.

Penjaga gol Southampton, Fraser Forster diturunkan hanya kali kedua dalam aksi liga musim ini selepas Hasenhuttl menggugurkan Alex McCarthy.

Tetapi gawang Forster bocor pada minit kesembilan hasil jaringan Richarlison. Ia jaringan ketiga pemain itu dalam tiga aksi terakhirnya dan yang kesebelas musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 7:30 AM