WEI Chong dan Kai Wun ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, Januari lalu. FOTO ASWADI ALIAS
WEI Chong dan Kai Wun ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, Januari lalu. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan beregu lelaki negara perlu membuktikan keupayaan mereka dalam siri Jelajah Eropah sebelum senarai terakhir untuk skuad Piala Thomas diumumkan.

Ketika ini persaingan beregu lelaki kedua masih terbuka membabitkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

Pasangan negara itu dijangka akan menyertai beberapa siri pertandingan di Eropah antaranya, Terbuka Perancis, Seluruh England, Terbuka Switzerland sebelum menyertai Kejohanan Badminton Asia seterusnya Piala Thomas.

Antara yang perlu membuktikan kemampuan mereka adalah beregu lelaki Wei Chong-Kai Wun yang dituntut untuk bekerja keras mengatasi segala kelemahan yang ada seandainya berhasrat untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas negara.

Pasangan itu sebelum ini digugurkan dalam senarai di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia bulan lalu dengan jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen berkata beberapa perkara sudah dibangkitkan kepada Wei Chong-Kai Wun untuk mereka perbaiki.

"Selepas digugurkan dari BATC, memang nampak ada peningkatan prestasi dan dalam latihan juga semakin baik.

"Tapi keputusan di setiap kejohanan masih penting dan saya harap mereka boleh perbaiki masalah mereka di dalam gelanggang itu rasa tekanan dan tidak yakin itu kena lepaskan semua.

"Mereka kena buktikan di kejohanan yang disertai. Mereka pun tahu apa yang mereka perlu lakukan dan dalam mesyuarat pun ada berbincang mengenainya.

"Mereka faham dan mereka perlu atasinya jika tidak mereka main lawan lebih kuat mereka akan kalah," katanya.

Sementara itu, Bin Shen berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kini sudah berada dalam kelompok 20 terbaik dunia sejak kembali di satukan pada Jun tahun lalu.

"Setakat ini Sze Fei-Izzuddin ada peningkatan. Di India mereka main dengan bagus, di Indonesia (Masters Indonesia) kurang sikit dan harap sampai Piala Thomas, Perancis dan Seluruh England mereka akan ok.

"Ketika ini mereka paling bagus antara dua pasangan yang lain. Tapi mereka perlu perlawanan yang lebih mencabar untuk mereka tahu di mana kedudukan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 3:02 PM