AKSI Jin Wei ketika bertemu Brunei, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Jin Wei ketika bertemu Brunei, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengakui ranking rendah bukan ukuran tepat untuk menidakkan kemampuan pasukan ketika berdepan Thailand pada perlawanan terakhir kumpulan Y, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, esok.

Menurut juara remaja dunia dua kali itu, dia gembira dapat kembali menyertai acara berpasukan wanita dan mengakui Malaysia selaku pasukan bukan pilihan tidak perlu gentar berdepan mana-mana pasukan.

"Berdepan Thailand nanti, kita pasukan 'underdog' dan tiada apa yang merugikan, hanya perlu berentap dan lihat apa yang mampu kita lakukan," kata Jin Wei.

Ujar Jin Wei, ada perkembangan positif daripada pemain perseorangan wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sekali gus meningkatkan tahap keyakinannya.

Skuad badminton wanita negara mengesahkan slot ke suku akhir selepas menumpaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 pada aksi sulung mereka sebentar tadi.

"Ranking rendah juga boleh mengejutkan tetapi ranking saya terlalu rendah. Apa pun jika diturunkan saya tetap akan berjuang," katanya.

Jika diturunkan menentang Thailand, Jin Wei pemain nombor 31 dunia, bakal menjadi perseorangan pertama dan bakal menentang pemain ranking tertinggi Thailand, Supanida Katethong (17).

Berdasarakan rekod pertemuan, Jin Wei memiliki kelebihan 2-1 ke atas Supanida, namun jika Thailand menurunkan Busanan Ongbamrungphan (18) sebagai perseorangan pertama, Jin Wei tewas semua tiga pertemuan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 2:05 PM