AKSI Jin Wei ketika bertemu Shuo Yun. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Jin Wei ketika bertemu Shuo Yun. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi & Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei berjaya melepasi halangan pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas menang straight set ke atas Sung Shuo Yun dari Taiwan di Axiata Arena sebentar tadi.

Kemenangan 21-18, 21-11 setidak-tidaknya memberi pembakar semangat buat pemain ranking ke-31 dunia itu yang mengalami musim suram tahun lalu apabila tumpas 13 kali di pusingan pertama daripada 19 penampilan di Jelajah Dunia.

"Seperti tahun lalu semua orang tahu ia tidak mudah buat saya, bernasib baik saya mampu melaluinya dan berjuang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris," katanya yang bakal berdepan Gregoria Mariska Tunjung, pilihan ketujuh dari Indonesia.

Ujar dua kali juara remaja dunia itu, aksi berdepan Shuo Yun yang juga pemain ranking ke-31 dunia sangat sengit dan dia hanya mengharapkan mampu memberi permainan terbaik.

"Dari segi mental dan fizikal saya rasa bertenaga, walaupun hanya sebulan melakukan persiapan. Saya rasa tidak mencukupi, turun ke gelanggang pun rasa kurang senang hati.

"Esok saya akan berdepan Gregoria dan dia adalah pemain yang kaya pengalaman. Bagaimanapun, saya harus memberi tentangan," kata Jin Wei yang pernah menjalani pembedahan di bahagian usus pada 2019.

Tambah pemain kelahiran Pulau Pinang itu, buat masa sekarang dia masih belum memikirkan mengenai kelayakan Olimpik walaupun berada dalam kedudukan menjadi pemain perseorangan wanita tunggal mara ke temasya berkenaan.

"Kelayakan masih belum habis tetapi saya tetap positif (untuk layak buat kali pertama ke Olimpik)," kata pemain berusia 23 tahun.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang membuat penampilan terakhir di Terbuka Malaysia turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Chang Ko Chi-Lee Chih Chen dari Taiwan 11-21, 26-24, 21-14.

Mereka akan menentang pilihan kelima kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 8:35 PM