TZE Yong layak ke pusingan kedua Terbuka Australia esok. FOTO AFP
TZE Yong layak ke pusingan kedua Terbuka Australia esok. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara bermula langkah kanan pada pertemuan pertama Terbuka Ausralia selepas dia cemerlang menewaskan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama hari ini.

Aksi yang berlangsung di State Sports Centre, Sydney, Australia itu menyaksikan Tze Yong mempamerkan aksi meyakinkan untuk merekodkan kemenangan straight set 21-18, 21-8 dalam tempoh 39 minit.

Kemenangan itu cukup manis buat pemain terbabit berikutan sebelum ini dia kurang bernasib baik bertemu lawan dari Jepun dengan tewas kepada Kodai Naraoka, Kenta Nishimoto dan Koko Watanabe pada kejohanan terdahulu.

Malah, kejayaan positif itu juga memastikan pemain berusia 23 tahun mengulangi pencapaian ketika menyertai Terbuka Jepun minggu lalu apabila turut melayakkan diri ke pusingan kedua sebelum tewas kepada Watanabe.

Mengikut rekod, pada saingan musim ini, Tze Yong yang memburu kedudukan dalam kelompok 20 terbaik dunia sudah empat kali melayakkan diri ke suku akhir termasuk pada Seluruh England (All England), Terbuka Switzerland, Terbuka Thailand serta Terbuka Korea.

Menanti Tze Yong di pusingan kedua esok adalah pemain di kedudukan kelima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie yang menyingkirkan bekas juara dunia dari Jepun, Kento Momota menerusi aksi tiga set 21-23, 21-14, 21-12.

Atas kertas, Christie dianggap memiliki kelebihan pada aksi pusingan kedua hari ini apabila mencatat kemenangan dalam kesemua dua perlawanan sebelum ini pada Terbuka Switzerland 2022 dan Piala Thomas 2020.

Sementara itu, perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 15-21, 17-21 kepada pemain India, Aakarshi Kashyap, sekali gus kekalahan kelapan berturut-turut di pusingan pertama musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 3:18 PM