YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (P.J.N) yang membawa gelaran Datuk kepada bekas pemain badminton Malaysia, Datuk Tan Yee Khan pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. FOTO Bernama

Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Kesemua bekas pemain badminton negara yang memacu skuad Malaysia memenangi Piala Thomas 1967 dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah kebesaran itu diberikan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Mereka ialah Datuk Yew Cheng Hoe, Datuk Billy Ng Seow Meng, Datuk Tan Yee Khan, Datuk Teh Kew San, Datuk Tan Aik Huang dan mendiang Datuk Ng Boon Bee.

Malaysia muncul juara Piala Thomas edisi 1967 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia selepas menewaskan tuan rumah 6-3 pada aksi final.

Ia adalah gelaran keempat buat skuad negara yang selepas sebelum itu turut memenanginya pada edisi 1949 di Preston, England dan masing-masing pada 1952 dan 1955 di Singapura.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh menzahirkan rasa bangga di atas penganugerahan yang diterima semua bekas pemain negara itu yang menyumbang pelbagai kejayaan buat Malaysia di pentas antarabangsa sepanjang kerjaya mereka termasuk menjulang trofi Piala Thomas 1967.

"Sudah tentu ini adalah pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam sukan badmiton negara. Mereka semua adalah legenda badminton negara dan menjadi contoh terbaik kepada pemain yang ada sekarang untuk berusaha mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 4:17 PM