TUN Juhar (tiga, kanan) dan isteri Toh Puan Norlidah menerima cenderahati  raket badminton daripada  Chong Wei. FOTO Bernama
TUN Juhar (tiga, kanan) dan isteri Toh Puan Norlidah menerima cenderahati raket badminton daripada Chong Wei. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Kinabalu: Pemain muda badminton negara harus meningkatkan disiplin diri bagi memastikan mereka mampu mempamerkan prestasi tinggi seterusnya berjaya dalam sukan itu, kata legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Beliau berkata pemain badminton muda negara menunjukkan prestasi baik pada kejohanan Piala Thomas, dan beliau berharap mereka mampu mengekalkan prestasi pada kejohanan akan datang.

"Rata-rata yang mewakili negara adalah pemain muda dan baru pertama kali bermain dalam kejohanan besar, ia satu pengalaman berharga buat mereka kerana bukan senang dapat pengalaman seperti itu.

"Saya harap dalam kejohanan terdekat mereka akan terus bangkit dan untuk terus berjaya, mereka perlu tingkatkan disiplin diri kerana ia kunci kejayaan bukan sahaja sukan badminton tetapi untuk semua sukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Pada istiadat itu Chong Wei menerima Jaksa Pendamai (JP) bersama lima individu lain termasuk Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Selepas istiadat, Chong Wei menghadiahkan raket miliknya masing-masing kepada Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, yang mana satu daripadanya pernah digunakan semasa kejohanan Olimpik dan satu lagi digunakan semasa kejohanan Terbuka Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 9:42 PM