ROSLIN antara panel penasihat teknikal BAM. FOTO Roslin Hashim
ROSLIN antara panel penasihat teknikal BAM. FOTO Roslin Hashim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Demi memastikan nama Malaysia kembali sebagai gergasi badminton dunia menyebabkan barisan legenda negara sanggup berkorban masa dan tenaga sebagai panel penasihat teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim berkata, beliau tidak lagi sanggup melihat wakil negara sering 'dipermainkan' di kejohanan antarabangsa sekali gus bersetuju diberikan tanggungjawab itu.

Beliau berkata, menerusi perkongsian idea daripada bekas pemain dapat diguna pakai oleh pihak berkaitan dalam usaha menambah baik kualiti dan corak permainan wakil negara kelak.

Katanya, barisan bekas pemain negara akan cuba sedaya upaya mengerah idea terbaik dan meluangkan masa untuk memastikan nama Malaysia kembali sebagai kuasa besar badminton di persada antarabangsa.

"Kami berkumpul dan kembali semula dalam arena badminton negara adalah kerana mahu berganding bahu memulihkan prestasi pemain yang kini agak merudum.

"Saya mengharapkan pandangan dan idea yang dikeluarkan oleh bekas pemain ini dapat dipertimbangkan dan diguna pakai oleh pihak berkaitan untuk memperbaiki kelemahan pemain negara.

"Pada masa sama, kontroversi yang melanda dan salah faham antara individu tertentu tidak menjadi penghalang untuk kita duduk bersama memulihkan prestasi skuad badminton negara," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, BAM mengumumkan pembentukan panel penasihat teknikal yang terdiri dari 14 ahli yang mana tujuh daripadanya adalah bekas pemain badminton untuk membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

Antara bekas pemain yang menganggotai panel itu adalah, Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim, Ong Ewe Hock, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.

Semua bekas pemain itu akan bekerjasama dengan tujuh lagi panel yang akan dipengerusikan Presiden BAM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, dan dibantu dibantu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

Turut berada dalam senarai adalah Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh serta bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Panel Penasihat Teknikal ini akan berkhidmat secara pro-bono akan memberikan nasihat dan bimbingan strategik kepada pihak Lembaga dan Pengurusan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Sementara itu Chong Wei berkata, beliau akan mencurahkan segala pengalaman dimilikinya bagi membantu melonjakkan prestasi pemain negara selepas dipilih menganggotai Panel Penasihat Teknikal ABM.

Chong Wei, 40, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali, berkata ini juga adalah satu cara untuk dia kembali membalas budi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang banyak membantunya sepanjang 19 tahun bernaung dengan badan induk itu.

"Ini adalah satu petanda yang positif apabila BAM membuka ruang kepada bekas pemain untuk bersama membantu. Saya bersedia untuk berkongsi pengalaman yang saya ada untuk mencari mekanisme terbaik bagi membantu pemain menyerlahkan potensi sebenar mereka.

"Saya di sini bukan untuk membandingkan antara zaman saya bermain dengan pemain yang ada sekarang. Sebaliknya, saya mahu berkongsi apa yang saya ada untuk bagaimana kita boleh meningkatkan lagi tahap sukan badminton negara," kata Chong Wei yang turut menganggotai Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 5:00 PM