TZE Yong tewas kepada Ka Long. FOTO Badminton Photo
TZE Yong tewas kepada Ka Long. FOTO Badminton Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat peminat badminton tanah air untuk melihat wakil Malaysia beraksi di separuh akhir Masters Thailand berakhir selepas wakil tunggal negara, Ng Tze Yong terkandas di suku akhir acara perseorangan lelaki, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nimibutr di Bangkok, pemain negara berusia 22 tahun itu yang turun menentang pemain berpengalaman Hong Kong, Ng Ka Long tewas straight set, 14-21 20-22.

Kemenangan itu menyaksikan Ka Long berjaya membalas dendam ke atas Tze Yong selepas tewas dalam pertemuan pertama mereka ketika saingan Terbuka Singapura, Julai tahun lalu.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Tze Yong memandangkan berjaya mempamerkan kebangkitan selepas tewas di pusingan awal di Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

Di Terbuka Malaysia dia kandas di pusingan kedua sebelum ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama di Terbuka India manakala di Indonesia Tze Yong tewas di pusingan kedua.

Ka Long yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan menentang pemenang perlawanan antara pemain China, Li Shi Feng dengan B Sai Praneeth dari India bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 5:24 PM