TZE Yong jumpa  Guang Zu pada aksi separuh akhir esok. FOTO BAM
TZE Yong jumpa Guang Zu pada aksi separuh akhir esok. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan beregu lelaki proesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan wakil Malaysia kekal bersaing bagi memburu gelaran juara Terbuka Australia dalam acara itu selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir, hari ini.

Tze Yong, 22, mengekalkan momentumnya apabila tidak berdepan masalah menyingkirkan pemain tuan rumah, Nathan Tang 21-9, 21-7 pada aksi suku akhir yang berlangsung State Sports Centre di Sydney itu. Bagaimanapun, pemain ranking ke-33 dunia itu berdepan ujian getir dalam misi memburu tiket ke final selepas dijadual bertemu bintang meningkat naik dari China, Lu Guang Zu pada aksi separuh akhir, esok.

Guang Zu mara selepas menundukkan pemain Indonesia, Leonardo Imanuel Rumbay 21-12, 21-9 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Sementara itu, Yew Sin- Ee Yi berjaya mara selepas menumpaskan pasangan Korea Selatan, Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae 23-21, 21-12. Mereka yang juga pilihan keenam bakal berdepan wakil China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong di separuh akhir esok.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei yang terpaksa akur tewas di tangan pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong.

Juara remaja dunia dua kali itu tewas dengan keputusan 11-21, 13-21 sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 5:55 PM