PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
BERNAMA

Kuala Lumpur: Barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sentiasa bekerja keras untuk melahirkan jaguh perseorangan lelaki negara seterusnya, yang mampu memberi cabaran di peringkat antarabangsa.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Pengarah Pembangunan Remaja, Datuk Misbun Sidek, dalam menjayakan misi itu.

"Kami selalu bekerjasama dan membincangkan strategi untuk mempercepatkan proses pembangunan pemain.

"Walaupun kami ada fokus tersendiri, namun kami ada buat latihan bersama yang dijalankan secara dalaman.

"Ia sebahagian daripada proses dan memang keputusan akhir masih belum dapat dilihat. Namun ia sesuatu yang giat lakukan secara berterusan," katanya ketika ditemui pemberita ketika separuh akhir kejohanan Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Berbekalkan lapan pemain perseorangan muda berada di bawah naungan BAM buat masa ini, hanya Ng Tze Yong, 21, dilihat sebagai pemain yang mampu menjadi sandaran utama negara.

Namun, beliau belum sampai ke tahap untuk menggantikan Lee Zii Jia, yang meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional pada Februari lalu.

Sebelum ini, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meminta barisan kejurulatihan supaya melahirkan lebih ramai jaguh perseorangan lelaki yang mampu mencabar pingat di kejohanan utama, serta mengurangkan kebergantungan kepada Zii Jia.

Choong Hann berkata, antara pemain muda di bawah kendalian Misbun yang menarik perhatian pihaknya buat masa ini adalah Justin Hoh, yang menjuarai Terbuka Bonn dan Croatia, baru-baru ini.

"Justin menunjukkan komitmen dan tahap konsisten tinggi dalam sesi latihan sejak terpilih ke Akademi Badminton Malaysia, begitu juga cintanya terhadap sukan ini. Ia diterjemahkan dalam beberapa kejohanan yang dia sertai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 8:00 PM