Datuk James Selvaraj. FOTO File NSTP
Datuk James Selvaraj. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur : Pemain badminton negara mungkin berdepan situasi hilang motivasi, kurang bersemangat dan tidak fokus selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menunda saingan Piala Thomas/Uber 2020.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj mengakui perkara itu dapat diatasi jika barisan kejurulatihan bijak mengatur program latihan.

Menurutnya, ia bukan perkara yang susah buat barisan kejurulatihan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyusun program latihan ketika kejohanan antarabangsa masih lagi tidak dapat dijalankan.

"Sekarang memang tidak ada kejohanan tapi latihan harus diteruskan cuma saya nasihatkan mereka mempelbagaikan corak, mungkin boleh tukarkannya selang seminggu atau dua minggu.

"Mereka harus ada perbezaan dalam corak latihan setiap minggu, tidak boleh melakukan perkara yang sama saja. Selepas seminggu berlatih dengan agresif mungkin selepas itu perlahankan sedikit tempo dan diakhiri dengan kejohanan dalaman," katanya.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM itu berkata, pemain mungkin mudah muak dengan corak latihan yang sama. "Ia harus diadakan secara menarik, barulah pemain tidak bosan. Selepas itu disusuli dengan kejohanan. Kejohanan dalaman atau bertembung sesama sendiri sangat penting. Ia sebagai tempat untuk pemain melepaskan geram selepas tidak ada kejohanan antarabangsa," katanya.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Selepas berakhirnya kejohanan Piala Presiden minggu lalu, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui hilang fokus selepas lama tidak beraksi di kejohanan antarabangsa.

Namun, perkara itu tidak mencetuskan resah Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Sebaliknya Choong Hann melihat situasi itu sebagai sesuatu yang positif kerana Zii Jia terbuka berkongsi situasi sebenar yang dihadapinya ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:50 PM