WONG Choong Hann. -FOTO NSTP
WONG Choong Hann. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann sentiasa berganding bahu bersama Datuk Misbun Sidek dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi pemain perseorangan berkualiti untuk negara.

Berdasarkan kepada situasi terkini, kem badminton negara bukanlah ketandusan bakat baharu apabila dilihat mempunyai lapan pelatih dalam kategori perseorangan lelaki dengan dengan Ng Tze Yong kini menggalas cabaran sebagai nombor satu dalam BAM.

Walaupun dilihat belum cukup 'masak' untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Lee Zii Jia selepas jaguh Asia itu memilih untuk menjadi pemain profesional pada Februari lalu namun dia boleh dikatakan sebagai bintang dalam pembikinan sekali gus mampu menggalas tanggungjawab lebih besar kelak.

Berdasarkan kepada situasi terkini, Misbun yang memegang jawatan pengarah pembangunan remaja BAM mempunyai sentuhan tersendiri dalam mendidik bakat baru, perlu menyediakan lebih ramai pemain remaja untuk dinaikkan ke skuad senior.

Choong Han berkata, beliau sentiasa mencari jalan terbaik bersama Misbun dalam usaha memastikan bakat 'ubi muda' perseorangan lelaki negara sentiasa berterusan selain boleh diangkat untuk bermain dalam skuad senior.

"Kami selalu bekerjasama dan membincangkan strategi untuk mempercepatkan lagi proses pertumbuhan barisan perseorangan lelaki negara, kadangkala kami ada fokus kami yang tersendiri, namun kami juga ada membuat latihan bersama-sama.

"Ini sesuatu yang dijalankan secara dalaman, dan ia adalah sebahagian daripada proses dan memang keputusan akhir masih belum dapat dilihat, namun ia adalah sesuatu yang giat lakukan," katanya.

Mengikut rekod, antara pemain muda yang dilihat semakin menyerlah adalah Justin Hoh, yang berada di bawah pemantauan Misbun dan kini sudah berjaya meraih dua kejuaraan di Terbuka Bonn dan Croatia minggu lalu.

"Justin menunjukkan komitmen dan tahap konsisten yang tinggi dalam sesi latihan sejak dia terpilih ke ABM (Akademi Badminton Malaysia), begitu juga cintanya terhadap sukan ini dan ia diterjemahkan dalam beberapa kejohanan yang dia sertai

"Ketika ini dia adalah antara produk BAM yang diberikan perhatian tinggi sekali gus dilihat mampu menggalas tanggungjawab lebih besar nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 1:51 PM