Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Lee Zii Jia tumbang dihalaman sendiri sendiri apabila tersingkir seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini.

Jaguh perseorangan negara itu gagal memanfaatkan sokongan padu penyokong di Axiata Arena Bukit Jalil apabila tewas kepada Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia, 19-21, 21-19, 16-21 dalam aksi yang berlangsung selama 66 minit.

Kekalahan pemain nombor lima dunia itu menyaksikan tiada lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki selepas dia menjadi wakil tunggal yang berjaya layak ke pusingan kedua.

Terdahulu Liew Daren dan Ng Tze Yong tewas seawal pusingan pertama.

Kekalahan turut meranapkan impian peminat badminton tempatan untuk menyaksikan pertembungannya dengan bintang sensasi Jepun, Kento Momota di pentas suku akhir.

Momota yang juga juara dunia dua kali mara ke kelompok lapan terbaik selepas menundukkan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 11-21, 21-8, 21-18.

Lebih malang, harapan untuk melihat Zii Jia kembali merampas gelaran Terbuka Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berkecai selepas kali terakhir dimenangi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 6:41 PM
REAKSI Zii Jia selepas tewas. FOTO Asyraf Hamzah
REAKSI Zii Jia selepas tewas. FOTO Asyraf Hamzah