Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Impian untuk melihat skuad Piala Thomas melangkah jauh di kejohanan berpasukan yang berlangsung di Kunshan, China, tampak cerah selepas undian semalam dilihat memihak kepada pasukan lelaki negara.

Diletakkan dalam Kumpulan C, skuad negara diundi bersama England, Jerman serta Korea Selatan yang bakal menjadi pencabar utama merebut juara kumpulan.

Di atas kertas, slot untuk skuad negara menempah tiket ke suku akhir dilihat cerah dan itu juga yang dirasai Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria (gambar).

“Pada tahun ini, kita juga akan menghadapi Sukan Olimpik Rio dan sudah pasti itu fokus utama.

“Apapun, segala-galanya akan dibincangkan pada mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) yang akan berlangsung kelak.

“Perbincangan nanti termasuk mengenai sasaran, persiapan dan pemilihan pemain,” katanya.

Piala Thomas dan Uber akan berlangsung di Kunshan, China dari 15 hingga 21 Mei ini.

Skuad Piala Thomas negara muncul naib juara musim lalu selepas tewas kepada Jepun pada aksi final di New Delhi, India.

Mengenai skuad Piala Uber, Norza mengaku mereka berdepan tugas sukar apabila diundi bersama juara bertahan, China, Denmark dan Sepanyol dalam Kumpulan A.

“Ia sememangnya undian yang sukar untuk skuad wanita negara kali ini. Namun, saya harap mereka boleh mempamerkan semangat juang tingi bagi menghadapi setiap lawan mereka itu,” katanya.

Sementara itu, jurulatih beregu negara Cheah Soon Kit yang juga anggota skuad juara Piala Thomas 1992 berkata, sekiranya mahu muncul selaku juara kumpulan, maka fokus utama adalah perlu menewaskan Korea Selatan.

“Bagi saya, kita mempunyai peluang cerah ke separuh akhir. Hanya Korea dilihat kuat dalam kumpulan ini.

“Jika mahu menjadi juara kumpulan, kita perlu fokus kepada beregu kerana Korea sememangnya sangat kuat dalam acara ini berbanding perseorangan.

“England dan Jerman pula seharusnya tiada masalah untuk ditewaskan andai mengambil kira kekuatan keseluruhan pasukan negara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:00 AM