MENG Yean sudah menghantar surat permohonan untuk keluar daripada BAM lebih awal daripada Zii Jia. FOTO Ihsan Facebook Lee Meng Yean
MENG Yean sudah menghantar surat permohonan untuk keluar daripada BAM lebih awal daripada Zii Jia. FOTO Ihsan Facebook Lee Meng Yean
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean mengakui keputusan keluar daripada bawah 'jagaan' Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukanlah disebabkan terpengaruh dengan situasi melanda Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Namun, keputusan itu diambil sudah lama dengan Meng Yean mahu mencari cabaran baharu dengan bergerak secara profesional.

Meng Yean antara pemain senior di BAM mengakui dia akan berdepan dengan tugas lebih getir terutama perlu mencari penaja selain menjalani latihan secara bersendirian dan lebih berdisiplin bagi memastikan prestasi terus konsisten.

Katanya, ketika ini dia mahu berehat dalam tempoh sebulan sebelum memikirkan cabaran seterusnya termasuk mencari pasangan baharu untuk bergandingan pada kejohanan akan datang.

"Sekarang secara rasminya saya bergerak secara profesional namun mahu berehat terlebih dahulu sebelum mencari pasangan beregu.

"Sebenarnya, saya sudah menghantar surat permohonan untuk keluar daripada BAM lebih awal daripada Zii Jia namun tertangguh lama kerana mereka mahu saya memikirkan terlebih dahulu keputusan itu.

"Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky ada memujuk saya berkaitan keputusan itu namun akhirnya dia terpaksa akur melepaskan saya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, BAM dalam kenyataannya memaklumkan Meng Yean yang juga kapten pasukan Piala Uber tahun lalu secara rasmi tidak lagi bersama badan induk badminton negara itu berkuatkuasa hari ini.

Mengikut rekod, pada saingan terdahulu, Meng Yean sering digandingkan dengan pasangan berbeza setiap kali menyertai kejohanan.

Pada saingan Piala Uber di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober tahun lalu, dia bergandingan dengan pemain muda, Go Pei Kee manakala bagi saingan Terbuka Denmark dan Perancis selepas itu dia akan berpasangan dengan Yap Cheng Wen.

Sebelum itu, Meng Yean bergandingan dengan Chow Mei Kuan pada saingan temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 8:34 PM