SOON Huat-Shevon pastinya sedar mereka berdepan situasi sukar mendapatkan penajaan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. FOTO NSTP
SOON Huat-Shevon pastinya sedar mereka berdepan situasi sukar mendapatkan penajaan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai tiada pilihan dan perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri seandainya tidak mendapat penajaan untuk ke temasya Olimpik Tokyo Julai ini.

Ia adalah peluang terakhir buat pasangan negara itu beraksi di Olimpik tahun ini kerana untuk beraksi di Olimpik Paris selepas ini mungkin sesuatu yang sukar.

Bekas pemain kebangsaan yang pernah bergerak secara profesional, Chong Wei Feng berkata, pasangan nombor 10 dunia itu pastinya sedar mereka berdepan dengan situasi sukar untuk mendapatkan penajaan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Lebih memeritkan mereka digugurkan daripada Persatuan Badminton Malaysia 7 Februari lalu secara mengejut menyukarkan mereka mengaturkan perancangan seterusnya.

"Untuk mencari penaja bukan sesuatu yang mudah ketika ini tapi mereka perlu berkorban kerana aksi kelayakan ke Olimpik akan tamat pada Jun ini.

"Jika nak bandingkan dengan saya dulu sedikit berbeza kerana sebelum meninggalkan BAM saya sudah mempunyai perancangan sendiri termasuk mendapat penajaan dari sebuah kelab badminton.

"Bila saya keluar semua sudah ada. Tapi mereka lain. Mereka digugurkan secara mengejut dan masa yang ada juga sudah tidak banyak.

"Kalau nak cari penaja dari segi peralatan mungkin mudah tapi untuk wang ringgit ketika ini agak susah kerana syarikat korporat atau individu sukar untuk tampil beri tajaan kerana keadaan sekarang ini.

"Jadi mereka memang tak ada pilih selain menggunakan wang sendiri," katanya.

Aksi Soon Huat-Shevon Lai di Terbuka Switzerland Selasa ini bagaimanapun dibantu BAM.

Tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik bagi acara badminton akan bermula dari 25 April sebelum berakhir pada 15 Jun.

Sabtu lalu, badan badminton dunia, BWF mengumumkan tempoh kelayakan dipanjangkan kerana kalendar dunia terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 10:39 PM