QUARTARARO berjaya meraih petak utama di GP Aragon. FOTO AFP
QUARTARARO berjaya meraih petak utama di GP Aragon. FOTO AFP
AFP

Alcaniz: Pendahulu keseluruhan MotoGP, Fabio Quartararo berjaya melupakan kemalangan ngeri pada sesi latihan ketiga untuk meraih petak utama Grand Prix (GP) Aragon sebentar tadi.

Pelumba muda Perancis itu berjaya memperlihatkan kesungguhan dan ketenangan bagi memburu kejuaraan dunia apabila kembali di peringkat kelayakan selepas jatuh buat kali kedua bagi saingan hujung minggu ini Litar Aragon Motorland.

Dia yang mewakili pasukan satelit Yamaha PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) mengalami kecederaan di bahagian pinggul kanan tatkala Jumaat lalu dia mengalami lebam di bahagian pinggul kiri.

Bagaimanapun, dia bakal memulakan perlumbaan di bahagian barisan depan bersama Maverick Vinales.

Vinales yang bersama pasukan utama Yamaha bakal berlumba keseorangan selepas rakan sepasukannya, Valentino Rossi terpaksa menjalani kuarantin selepas diuji positif Covid-19.

Melengkapkan barisan depan ialah Cal Crutchlow dari Honda-LCR selepas mencatat masa ketiga terpantas.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli, pelumba Ducati, Jack Miller dan Joan Mir bakal bermula di barisan kedua.

Quartararo, yang muncul juara pada dua perlumbaan awal, mendahului dengan 10 mata pada kedudukan keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 12:07 AM