CALVERT-Lewin (kiri) menjadi watak penting untuk Everton setakat ini. FOTO AFP
CALVERT-Lewin (kiri) menjadi watak penting untuk Everton setakat ini. FOTO AFP
AFP

London: Everton mempunyai peluang keemasan untuk membuktikan bahawa kebangkitan mereka di tangga teratas Liga Perdana bukanlah hanya kebetulan apabila bertemu Liverpool esok.

Everton sudah melalui 22 perlawanan tanpa sebarang kemenangan ke atas seteru setempat Liverpool sejak kali terakhir melakukannya pada Oktober 2010.

Namun sedekad selepas itu, Everton bakal bertemu jiran mereka itu dengan pasukan yang mantap ketika Liverpool pula tiba di Goodison Park selepas kekalahan memalukan 2-7 kepada Aston Villa.

Everton pula melakar kemenangan keempat berturut-turut pada saingan liga selepas menewaskan Brighton sebelum saingan berehat seketika untuk aksi antarabangsa.

Ia jauh berbeza berbanding musim lalu apabila mereka hanya menamatkan saingan liga di kedudukan ke-12.

"Kami sedar bahawa standard kami menurun musim lalu," kata kapten Everton, Seamus Coleman.

"Kami mempunyai pengurus berkelas dunia (Carlo Ancelotti). Sejak kami kembali, prestasi pasukan sangat menakjubkan," katanya.

Ancelotti berjaya membentuk Dominic Calvert-Lewin menjadi penyerang berbisa yang sudah menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan untuk Everton musim ini sebelum menjaringkan gol pada penampilan pertamanya untuk England minggu lalu.

Beliau kemudian berjaya mendapatkan James Rodriguez dari Real Madrid, Allan dan Abdoulaye Doucoure namun James dilihat menjadi watak penting.

Pemenang kasut emas Piala Dunia 2014 itu gagal menyinar di Madrid namun Ancelotti masih meletakkan kepercayaan ke atas pemain itu selepas pernah bekerjasama di Real dan Bayern Munich.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 9:56 AM