AHMAD Shapawi berkata belum ada sebarang arahan untuk tidak membenarkan latihan diteruskan. FOTO Owee Ah Chun
AHMAD Shapawi berkata belum ada sebarang arahan untuk tidak membenarkan latihan diteruskan. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tiada perancangan untuk menghentikan sebarang bentuk latihan dengan atlet akan menjalani proses latihan seperti biasa biarpun kes Covid-19 semakin meningkat.

Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, hingga ketika ini belum ada sebarang arahan untuk tidak membenarkan latihan diteruskan dengan MSN akan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru Shapawi menegaskan bahawa kesemua atlet perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak itu.

"Bukan hanya MSN tapi sebagai rakyat Malaysia semua bimbang akan wabak ini. Jadi kita perlu patuhi arahan dan saranan kerajaan untuk sama-sama bantu mengekang penularan itu.

"Atlet akan teruskan latihan seperti biasa dengan amalan SOP yang perlu dipatuhi," katanya.

Shapawi bagaimanapun menegaskan bahawa belum ada sebarang perancangan atau keperluan untuk kembali melakukan kem latihan pusat yang mengamalkan sistem kuarantin yang dilakukan sebelum ini membabitkan atlet di bawah program Road To Tokyo.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:09 PM