TUNKU Ismail (kiri) sempat mengucapkan selamat maju jaya kepada Safawi.
TUNKU Ismail (kiri) sempat mengucapkan selamat maju jaya kepada Safawi.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas 48 jam tiba di Portugal, bintang bola sepak negara, Safawi Rasid terus menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan menyertai latihan bersama pasukan baharunya, Portimonense SC.

Ujian calitan itu dibuat bersama pegawai perubatan kelab dan sementara menunggu keputusan saringan itu, Safawi menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sempat mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas pemainnya itu yang dipinjamkan selama semusim kepada kelab liga utama Portugal itu.

Malah ia sempat dibalas Safawi dengan ucapan menjunjung kasih kepada Tunku Ismail.

"Selamat maju jaya Pawi" tulis Tunku Ismail di Instagramnya sebelum pemain sayap berkaki kiri itu membalas," Menjunjung Kasih Tunku."

Selain itu, jersi nombor 9 yang dipakai Safawi ketika menjalani ujian saringan terbabit turut mendapat perhatian terutama peminat bola sepak tempatan.

Ramai yang meneka, tonggak Harimau Malaya itu menggunakan nombor berkenaan, tetapi hasil semakan Arena Metro di laman web, nombor yang sinonim dengan pemain di posisi penyerang itu masih milik Jackson Martinez.

Begitupun, berdasarkan beberapa artikel antarabangsa, Martinez yang dihimpit kecederaan sudah pulang ke Colombia bagi menyertai kelab Independiente de Medellin, dan jika benar kemungkinan Safawi menggunakan nombor itu.

Untuk rekod, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu muncul pemain kedua negara yang beraksi di liga utama Eropah selepas penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin menyertai KV Kortrijk di Belgium, Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 2:00 AM