Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
Saiful Affendy Sapran


PENGAKUAN pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia yang hilang fokus selepas lama tidak beraksi di kejohanan sebenar tidak mencetuskan resah Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Dunia (BAM), Wong Choong Hann.

Sebaliknya Choong Hann melihat situasi itu sebagai sesuatu yang positif kerana Zii Jia terbuka berkongsi situasi sebenar yang dihadapinya ketika ini.

"Ia membuktikan kita mempunyai pemain yang cukup matang untuk berkongsi pengalaman dan pemikirannya kepada semua mengenai tahap fizikal, mental dan taktikal.

"Sekali gus memberi satu petanda kepada saya bahawa pemain kita terbuka untuk perbincangan mengenai permainan mereka dan terbuka untuk menerima cadangan.

"Ini lebih baik daripada pemain tidak ingin berdepan atau mengakui ada masalah," katanya.

Choong Hann (kiri) berbincang strategi permainan dengan Zii Jia.
Choong Hann (kiri) berbincang strategi permainan dengan Zii Jia.

Zii Jia mengakui hilang fokus sebaik tamat aksi menentang Cheam June Wei dalam saingan Piala Presiden semalam tetapi masih mampu melakar kemenangan sekali gus menyumbang mata untuk Pasukan A.

Sementara itu, Choong Hann tidak menafikan motivasi kebanyakan pemain mula menurun selepas saingan Piala Thomas 2020 ditunda.

"Sudah pasti motivasi menurun kerana mereka sudah berlatih bersungguh-sungguh dan sudah bersedia untuk bertanding.

"Namun, dari satu aspek lain, mereka mungkin berasa lega kerana tidak perlu mengambil risiko yang agak tinggi untuk ke negara lain pada waktu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 9:25 PM