Akanni Sunday Wasiu jadi sandaran skuad UKM. FOTO FB UKM FC
Akanni Sunday Wasiu jadi sandaran skuad UKM. FOTO FB UKM FC
Mohd Amin Jalil


SKUAD Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC sudah mendapat keyakinan yang lebih baik selepas merekodkan keputusan seri dengan Sarawak United dalam aksi Liga Perdana, minggu lalu.

Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata, pihaknya yakin pemain pasukan itu mampu memperagakan aksi lebih mantap pada aksi berikutnya menentang Kelantan United FC (KUFC), di Stadium Selayang, Jumaat ini.

"Selepas mengharungi tiga perlawanan liga, saya yakin pemain sudah mempunyai keyakinan yang lebih tinggi untuk meneruskan cabaran ketika berhadapan dengan pasukan lain termasuk mereka yang lebih berpengalaman.

"Malah keputusan seri di gelanggang lawan ketika menentang Sarawak United minggu lalu adalah suatu keputusan yang memberangsangkan.

"Saya berharap, pasukan mampu mencatatkan keputusan positif ketika melayani kunjungan KUFC di Selayang, Jumaat ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga percaya ketua jurulatih Sulaiman Hussin, sudah mempunyai perancangan rapi dan menyediakan pasukan dalam keadaan terbaik untuk berhadapan KUFC, bagi memastikan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri itu dapat dimanfaatkan bagi mengutip tiga mata.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pemain supaya kekal fokus dan lebih berhati-hati dengan strategi pihak lawan yang mampu mengambil peluang dalam apa juga situasi perlawanan, supaya impian meraih kemenangan tidak tersasar.

"Saya beranggapan perlawanan Jumaat ini lebih seimbang kerana pemain UKM lebih bersedia dan akan berikan tentangan sengit," katanya.

Mohd Fairus berharap jentera serangan UKM diketuai Akanni Sunday Wasiu dan Lee Seong Woo mampu memainkan peranan proaktif untuk merobek gawang KUFC dan seterusnya membuahkan kemenangan.

"Pengalaman Akanni khususnya dengan beberapa pasukan tempatan seperti Terengganu FC amat ditagih untuk membantu pasukan meraih pencapaian terbaik dalam liga musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:55 PM