Super KIP menguji motosikalnya
Super KIP menguji motosikalnya
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menganggap penamat ke-21 pada Grand Prix (GP) San Marino tetap satu keputusan positif di sebalik belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan memotong jari kelingking kanan.

Pelumba Petronas Sprinta Racing itu yang mendapat gelaran Super KIP mengakui kurang selesa ketika beraksi kerana merasai kesakitan di bahagian pembedahan itu pada perlumbaan di Litar Misano.

"Secara jujur ada peningkatan dari sudut catatan masa terutama di hari perlumbaan tetapi ia masih belum mencukupi (untuk memungut mata).

"Saya memahaminya kerana baru saja melakukan pembedahan. Masih ada rasa tekanan di tangan apabila melakukan banyak pusingan. Saya harap ia akan kembali pulih sepenuhnya.

"Pasukan melakukan tugas dengan baik dan kami mempelajari sesuatu daripada perlumbaan ini. Saya percaya mampu meraih keputusan lebih baik di litar sama pada pusingan seterusnya minggu depan," katanya yang terlepas beraksi dua pusingan perlumbaan sebelum ini.

Aksi Hafizh Syahrin di GP Emilia-Romagno
Aksi Hafizh Syahrin di GP Emilia-Romagno

Sementara itu, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah terlepas untuk meraih mata apabila gagal menamatkan perlumbaan kerana terjatuh selepas pada satu ketika menduduki tempat ke-10.

Pelumba pasukan Oceanica Aspar itu juga kecewa kerana tidak dapat memberikan hadiah bermakna kepada neneknya, Arbaieah Mohammed yang meninggal dunia minggu lalu.

"Ia bukanlah perlumbaan yang teruk tetapi saya mengalami masalah di bahagian tayar belakang.

"Di tambah dengan keadaan diri yang tidak 100 peratus pulih sepenuhnya, sukar untuk saya berlumba terutama apabila mengambil selekoh kiri. Saya cuba buat yang terbaik untuk arwah nenek, tetapi tidak berjaya," katanya yang mengalami kemalangan ngeri di GP Austria bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 8:47 PM