DJOKOVIC juara Terbuka Western & Southern ATP. FOTO Agensi
DJOKOVIC juara Terbuka Western & Southern ATP. FOTO Agensi
AFP

PEMAIN ranking nombor satu dunia, Novak Djokovic bangkit sebelum mengalahkan wakil Kanada, Milos Raonic 1-6, 6-3, 6-4 dalam perlawanan akhir Terbuka Western & Southern ATP, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah tahun ini menjelang dua hari sebelum bermulanya Terbuka Amerika Syarikat.

Bintang Serbia berusia 33 tahun itu meraih gelaran yang ke-80 dalam kariernya, meningkat prestasi dengan rekod 23-0 pada 2020 dan 11-0 sepanjang berdepan Raonic.

"Ia bukannya mudah, terutama pada peringkat tiga terakhir selama empat hari. Ia mencabar mental dan emosi buat saya bagi bersaing di tahap tertinggi dan meraih gelaran," kata Djokovic.

Djokovic berterima kasih kepada fisioterapi yang membuatkan dia boleh bermain dalam tempoh tiga jam ketika meraih kemenangan separuh akhir Jumaat lalu berdepan wakil Sepanyol, Roberto Bautista Agut.

"Ia agak perlahan pada awal saingan namun saya bermain dengan baik, melihat kepada cabaran yang Milos berikan.

"Anda harus bersedia dari segi mental dan memberi fokus seterusnya. Jadi saya agak bergelut dengan perkara itu. Dia melakukan servis dengan padu dan ia agak sukar untuk dikembalikan," katanya.

Djokovic akan memulakan pemburuan untuk merangkul gelaran Terbuka Amerika Syarikat dan gelaran Grand Slam kali ke-18 menjelang pertemuan dengan pemain Bosnia and Herzegovina, Isnin ini di Stadium Arthur Ashe.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 9:43 AM