MURRAY membalas pukulan Tomic.
MURRAY membalas pukulan Tomic.
Reuters

Cincinnati: Andy Murray meneruskan catatan gemilangnya menerusi kemenangan 6-4, 6-4 ke atas pemain Australia Bernard Tomic sekali gus melangkah ke separuh akhir Terbuka Western & Southern di Cincinnati.

Pemain nombor dua dunia itu berjaya mengetepikan jadual padat pertandingan dan bangkit daripada ketinggalan 3-4 di set kedua sebelum menang tiga perlawanan terakhir untuk ke kelompok empat pemain terbaik di kejohanan berkenaan.

“Saya rasa keadaan di sini agak membantu,” kata Murray.

“Aksi di sini agak pantas dan tidak memerlukan banyak rali. Ia membantu saya malam ini. Saya mengawal gelanggang dengan baik dan itulah perbezaannya.”

Kali terakhir Murray tewas ialah ketika ditundukkan Novak Djokovic di final Terbuka Perancis, Jun lalu dan kali ini, dia akan bertemu Milos Raonic di separuh akhir selepas bintang Kanada itu mengalahkan pilihan kelapan, Dominic Thiem.

Raonic tewas di tangan Murray pada final Wimbledon.

“Dia adalah salah seorang pemain yang memiliki servis paling laju di dalam sukan ini,” kata Murray. “Saya perlu membalas pukulannya dengan baik jika mahu menang.”

Raonic melakar 17 ace dan langsung tidak berdepan mata akhir lawan ketika mengalahkan Thiem dalam tempoh 68 minit.

“Saya kerap berlatih dengannya dan justeru, saya sedikit sebanyak faham dengan corak permainannya. Begitu juga dia memahami permainan saya,” kata Raonic.

“Tetapi, aksi di pertandingan biasanya berubah dan oleh itu, saya membuat sedikit kajian. Rasanya saya dapat bermain mengikut perancangan dan itulah yang membolehkan saya menang.”

Raonic tidak beraksi di Olimpik dan menghabiskan masanya dengan berlatih di bawah kendalian John McEnroe dan kedua-duanya berbincang mengenai kekalahan di tangan Murray pada final kejohanan utama pertamanya.

“Kami berbincang untuk mencari kaedah terbaik mengapa saya tewas dan kami sependapat bahawa saya perlu menguatkan mental,” kata Raonic.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:14 AM