Hafizh Syahrin. FOTO Inde Aspar
Hafizh Syahrin. FOTO Inde Aspar
Saiful Affendy Sapran


PRINSIPAL pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali percaya Hafizh Syahrin Abdullah akan memberikan aksi terbaiknya sekiranya terpilih beraksi bersama pasukan itu di kelas MotoGP musim depan.

Namun Razlan masih tidak mahu memberi penjelasan terperinci, sebaliknya mahu Hafizh terus memberi fokus pada musim ini di Moto2 bersama pasukan Inde Aspar.

"Saya yakin Hafizh akan buat yang terbaik jika dipilih ke pasukan kami tapi dia pun kena buat yang terbaik di mana-mana dia berada ketika ini.

"Bagi saya setakat ini jangan fikirkan di mana Hafizh akan beraksi pada tahun depan, tetapi dia perlu memberi fokus pada perlumbaan akan datang. Hafizh perlu melalui proses pemulihan dengan baik dan catat keputusan terbaik di Misano (13 September)," katanya.

Datuk Razlan Razali. FOTO File NSTP
Datuk Razlan Razali. FOTO File NSTP

Razlan bagaimanapun mengakui sehingga kini banyak faktor yang perlu diambil kira oleh pihaknya dalam memilih satu lagi pelumba di kelas MotoGP ketika juara dunia sembilan kali yang kini bersama pasukan pengeluar Monster Energy Yamaha MotoGP, Valentino Rossi dikatakan hampir pasti akan ke pasukan itu.

"Bagi kami masih banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti penaja dan sebagainya. Jadi agak susah untuk kami hendak buat keputusan ketika ini," katanya.

Sementara itu, menurut laporan portal media Itali, moto.it, Rossi dan Petonas Yamaha SRT sedang berusaha untuk memuktamadkan perjanjian pada pusingan seterusnya di Misano, pada 13 September ini.

Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis mendedahkan segala perbincangan kini berada di dalam peringkat akhir.

Arena Metro melaporkan Hafizh menyerahkan sepenuhnya kepada Razlan sama ada mahu memilihnya atau Rossi untuk mengisi satu lagi kekosongan tempat duduk dalam pasukan Petronas Yamaha SRT.

Jelas Hafizh, dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya mahu terus memberi fokus bersama pasukannya untuk mengharungi saingan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 9:46 PM