SAFAWI ketika sidang media selepas tamat perlawanan semalam. FOTO Asrol Awang
SAFAWI ketika sidang media selepas tamat perlawanan semalam. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


SAFAWI Rasid menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung perpindahannya ke kelab Portugal, Portimonense SC.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia akan mendapatkan pengesahan lebih terperinci sebelum berkongsi kepada penyokong mengenai masa depannya.

"Setakat ini saya tak fikir lagi untuk pergi ke kelab Portugal. Kalau boleh saya nak fokus kepada JDT, Liga Super dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Selepas itu saya fikir yang terbaik untuk kerjaya saya sebagai pemain," kata Safawi ketika diminta mengulas kelab Portimonense SC yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Baru-baru ini, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan pasukan itu menerima tawaran daripada Portimonense untuk Safawi dan bersedia untuk melepaskan pemain itu bagi meneruskan kariernya di Eropah.

Malah, perpindahan itu mendapat 'restu' pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali gus menyaksikan impian Safawi untuk menggegar bumi Eropah menjadi kenyataan.

Mengulas tahap prestasi sebaik dimasukkan pada babak kedua perlawanan berdepan Pahang semalam, Safawi belum berpuas hati dengan prestasinya kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan.

Sehubungan itu, dia akan mempertingkatkan lagi kualiti permainan apabila melayan kunjungan Perak di Stadium Sultan Ibrahim, pada 4 September ini. "Saya cuba yang terbaik selepas lama tidak beraksi dan menerima segala keputusan jurulatih untuk meletakkan saya dalam kesebelasan utama atau simpanan. Sebagai pemain saya sudah melakukan yang terbaik terutama pada sesi latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 10:52 AM