Allee Putra Azril sah menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.
Allee Putra Azril sah menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.
Firdaus Hashim


SELEPAS kejayaan penyerang bawah 19 (B-19) tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin yang menarik minat kelab Eropah, kini seorang lagi pemain remaja negara berjaya memikat akademi bola sepak di Eropah.

Jika Luqman diburu kelab Belgium dan England, Allee Putra Azril pula sah sudah menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City hari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi laman Twitter akademi berkenaan dengan segala kos latihan, penginapan dan makanan ditanggung sepenuhnya akademi itu.

Menerusi surat tawaran kepada Allee, akademi yang banyak melahirkan pemain berbakat buat skuad kebangsaan La Roja itu akan menampung yuran keseluruhan dengan jumlah €15,750 (RM75,489) selama semusim.

"Berdasarkan penelitian oleh barisan kejurulatihan bakat-bakat baharu untuk musim baharu, kami berbesar hati menawarkan tempat di akademi ini untuk musim 2020-2021.

"Jumlah keseluruhan program bermula 30 Julai ini hingga Mei 2021 termasuk pengurusan penginapan, makanan, latihan, pengangkutan ke venue perlawanan, kelengkapan lengkap sukan, panduan pemakanan dan lain-lain akan menelan belanja €15,750," kata Pengarah Akademi FC Malaga City, George Jermy.

Difahamkan, akademi ini adalah sebuah pasukan yang mengumpulkan pemain-pemain muda dari pelbagai negara dan banyak mengatur perlawanan dengan akademi profesional dengan kekerapan yang tinggi.

Walaupun ia tiada kaitan dengan kelab La Liga, Malaga namun akademi ini berjaya memasarkan pemain-pemain muda mereka di kelab-kelab terkemuka sekitar Sepanyol dan negara Eropah yang lain.

Selain, Luqman dan Allee, sekurang-kurangnya lima pemain bawah 23 (B-23) negara pernah di risik kelab luar seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari dan Irfan Zakaria sebelum ini.

Malah, ketika ini tiga pemain lain iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak (Liga Jepun-Fagiano Okayama), Norshahrul Idlan Talaha (Liga Thailand-BG Pathum United) dan Dominic Tan (Liga Thailand-Police Tero) masing-masing berpangkalan di liga luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 10:33 PM