Virgil (kanan) kagum bakat Keita. FOTO Agensi
Virgil (kanan) kagum bakat Keita. FOTO Agensi
Agensi

BINTANG Liverpool, Virgil van Dijk terdesak mahukan Naby Keita mengelak daripada kecederaan bagi musim 2020-21 dan membuktikan kepada Liga Perdana Inggeris (EPL) bahawa dirinya berkelas dunia.

Keita, 25, menyertai Liverpool dari RB Leipzig pada 2018 selepas meraih pujian ketika beraksi bersama kelab Jerman itu serta di Salzburg.

Di Jerman, Keita menempah nama sebagai salah seorang pemain tengah yang berpotensi - kualiti yang dimiliki ketika mengawal bola serta mencipta dan meledak jaringan antara yang berjaya menarik minat beberapa kelab gergasi Eropah.

Van Dijk teruja melihat Keita menyinar dan berharap isu kecergasan pemain tengah itu tidak menjadi halangan buatnya pada musim depan.

"Saya sangat gembira buat Keita," kata Van Dijk di laman web rasmi Liverpool.

"Naby seorang pemain yang hebat, dia bekerja keras dan seorang pemain bola sepak yang luar biasa.

"Kami dapat melihatnya, dia kurang bernasib baik kerana kerap berdepan masalah kecederaan tetapi kami berharap dia mampu cergas sepanjang musim.

"Saya berasakan dia seorang pemain bertaraf dunia. Saya dapat melihat setiap saat dia memegang bola. Dia kerap melakukan gerakan bijak dan sangat kreatif."

Keita tampil 18 kali dalam kempen Liga Perdana 2019-20 bersama Liverpool, tujuh lebih sedikit daripada musim sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 3:01 PM