Pasukan Selangor ketika menjalani sesi latihan. FOTO File NSTP
Pasukan Selangor ketika menjalani sesi latihan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


PEMAIN bola sepak yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) diingatkan supaya perlu lebih berhati-hati bagi mengelak berlakunya kecederaan serius sehingga menjejaskan karier masing-masing.

Lebih penting lagi, setiap pasukan jangan sekadar melepaskan batuk di tangga dengan memandang remeh berkaitan prosedur operasi standard (SOP) ketika beraksi nanti hingga mengabaikan aspek keselamatan dalam mengekang penularan Covid-19.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, tempoh lebih tiga bulan berehat kepada pemain bola sepak menyebabkan keupayaan anggota badan berkurangan sekali gus berisiko mengalami kecederaan jika tidak berhati-hati pada saingan liga yang bersambung pertengahan bulan depan.

Beliau berkata, setiap pasukan bola sepak juga perlu mengamalkan langkah keselamatan dan SOP yang sudah diterangkan sebelum ini oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Latihan selama sebulan sebelum saingan Liga M bersambung sebenarnya tidak mencukupi lebih-lebih lagi mereka pula terikat dengan SOP sekali gus tidak boleh melakukannya pada tahap optimum.

"Oleh itu diingatkan walaupun terlalu rindu untuk beraksi namun perlu berhati-hati kerana kecederaan sudah pasti akan membelenggu pemain pada peringkat awal nanti.

"Perkara terbabit perlu dititik beratkan menerusi latihan tertentu bagi memastikan setiap pemain berada pada tahap optimum sebelum kembali beraksi dalam saingan Liga M," katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan semua 24 pasukan Liga M akan memulakan aksi liga lebih awal selepas mendapat lampu hijau daripada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang berlangsung di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membawa cadangan pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 3 dan 4 turut menyaksikan beberapa jenis sukan bersentuhan juga dibenarkan termasuk menganjurkan semula pertandingan seperti ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang dan skuasy.

Malah, pertandingan sukan tanpa sentuhan seperti permotoran dan sukan individu juga dibenarkan bermula 15 Julai ini.

Namun, kesemua acara dan pertandingan perlu mengikut SOP yang ketat dengan dijalankan tanpa kehadiran penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 6:56 PM