Firdaus Hashim


SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan bermula pada September ini kemungkinan boleh berlangsung lebih awal iaitu seawal bulan depan sekiranya mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya akan membawa cadangan kepada MKN pada mesyuarat khas 9 Julai ini dengan fokus utama adalah kebenaran latihan penuh secara berkontak kepada pemain bola sepak serta atlet sukan lain seperti sukan tempur.

"Melihat kepada perkembangan mengenai Covid-19 di Malaysia yang terkawal di samping laporan pemantauan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di kalangan penggiat sukan dan operator premis yang amat baik setakat ini."

"Saya akan membawa cadangan ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Khamis depan (9 Julai) untuk sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur untuk dibenarkan latihan penuh secara berkontak.

"Saya juga akan mencadangkan agar penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara berperingkat bermula dengan aktiviti yang tidak ada sentuhan badan (non-contact) seperti sukan individu, sukan permotoran, sukan riadah, sukan air dan sukan ekstrem untuk dilaksanakan.

"Cadangan kebenaran untuk latihan secara kontak penuh ini akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk Liga M dan kejohanan sukan lain dapat dimulakan dalam masa terdekat," katanya.

Situasi ini sudah pastinya melegakan kesemua pasukan dalam liga tempatan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk melihat kembali saingan liga tempatan disambung.

Sebelum ini, FAM memutuskan untuk menangguhkan kesemua aktiviti bola sepak di negara ini termasuk saingan Liga M pada 16 Mac lalu ekoran penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, hasil usaha berterusan antara FAM dan Menteri Sukan, Reezal Merican akhirnya MKN membenarkan aktiviti bola sepak kembali dijalankan namun ia harus menggunakan SOP yang ketat dengan mengamalkan latihan tidak ada sentuhan badan (non-contact) sejak minggu lalu.

Jelasnya lagi, pengusaha sukan gelanggang komersial seperti gelanggang futsal dan padang sintetik juga turut akan dibincangkan bagi membolehkan aktiviti bola sepak secara riadah dibenarkan.

"Walau bagaimanapun, cadangan ini masih tertakluk kepada pandangan pihak MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) serta persetujuan ahli-ahli Mesyuarat Khas Menteri-Menteri nanti.

"KBS juga ada mengadakan sesi libat urus (engagement session) bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa untuk berkongsi pandangan pembangunan sukan di Malaysia dan juga untuk sama-sama berbincang cadangan SOP yang bersesuaian kearah pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara berperingkat.

"Justeru itu, KBS akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal dalam masa yang terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 3:36 PM