Ramli Junit
Ramli Junit
Nazri Abu Bakar


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) perlu berhati-hati dalam memastikan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal disambung 26 Ogos depan berjalan dengan lancar dan selamat.

Bekas pemain bola sepak Olimpik negara, Ramli Junit berkata, ketika situasi negara kembali membimbangkan berikutan pandemik Covid-19 sudah pasti perancangan untuk meneruskan saingan perlu diteliti dengan rapi.

Katanya, jika keadaan tidak menentu adalah lebih baik ianya ditangguhkan kepada masa yang lebih sesuai dan selamat, walaupun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, tidak salah jika menangguhkan sementara saingan ketika Covid-19 kembali meningkat selain masih membimbangkan terutama wabak yang boleh memudaratkan pemain, pegawai dan penyokong.

"Walaupun mental dan fizikal pemain sudah bersedia namun ianya tidak cukup untuk diteruskan jika tahap keselamatan masih berada dalam situasi tidak menentu.

"Sehubungan itu, saranan, nasihat dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu kembali diperhalusi berdasarkan situasi semasa dan bukan berpandukan saranan sebelum ini," katanya.

Baginya, kebenaran kontak penuh bermula 15 Ogos yang kekal sebelum ini juga perlu mendapat pandangan menyeluruh menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan nasihat semua pihak termasuk kehadiran semula penyokong ke stadium.

Ramli berkata, semua pihak sememangnya menanti dengan penuh sabar untuk menyaksikan saingan bermula, namun semua aspek perlu diambil kira sebelum ia diteruskan pada 26 Ogos ini.

Hari ini, menerusi laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sudah berhubung dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai perkara berkenaan.

Beliau mengesahkan keputusan MKN dan KKM yang membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos masih kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 9:26 PM