REEZAL pada sidang media selepas meninjau perkembangan terkini pasukan Malaysia Bawah 19 membuat persiapan bagi kejohanan Piala AFC 2021 di Wisma FAM. FOTO Hazreen Mohamad
REEZAL pada sidang media selepas meninjau perkembangan terkini pasukan Malaysia Bawah 19 membuat persiapan bagi kejohanan Piala AFC 2021 di Wisma FAM. FOTO Hazreen Mohamad
Firdaus Hashim


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang sudah memulakan latihan Fasa 1 sejak 15 Jun lalu.

Menurut beliau, berdasarkan laporan daripada cawangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di peringkat negeri dan daerah, semua pasukan menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap segala SOP ditetapkan.

Justeru berdasarkan kerjasama baik ditunjukkan semua pasukan setakat ini, beliau yakin peluang untuk melihat latihan fasa dua atau secara penuh begitu tinggi namun semuanya bergantung kepada hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung esok.

"Setakat ini semuanya baik dan memuaskan pematuhan pasukan ikuti SOP kerana berdasarkan laporan daripada Jabatan KBS di peringkat negeri termasuk daerah, semuanya menunjukkan pematuhan yang tinggi.

"Cuma saya rasa sudah sampai satu tahap, kebanyakan pasukan sudah bosan dan secara mental, mereka tercabar untuk terus jalani latihan secara non kontak dan mereka mahu lebih daripada itu.

"Pemain mahu mencapai lebih optima dalam latihan dan sebab itu saya hendak cakap di sini iaitu pada Khamis, saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat menteri-menteri mengenai pelaksaan PKP agar permohonan latihan secara kontak dibenarkan.

"Perkara ini juga meliputi perlawanan membabitkan di peringkat awam dengan SOP tertentu dibenarkan sekali gus membuka ruang kepada kejohanan dapat dimulakan dengan tanpa penonton tidak lama lagi kerana semua tahu bola sepak adalah sukan yang paling ramai ditonton oleh rakyat di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Reezal meminta semua pihak agar bersabar dalam usaha membenarkan penonton kembali hadir ke stadium kerana perkara itu masih memerlukan masa untuk dinilai serta berperingkat.

"Biar kita pergi daripada satu ke satu perkara dahulu malah jika kita lihat negara-negara lain pun seperti EPL dan Bundesliga, perlawanan semua masih belum diadakan tanpa penonton.

"Kita jangan mulakan satu perkara yang satu dunia mulakan, jadi apa kita lalui sahaja cara ini dahulu sebelum langkah seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 4:51 PM