HAMILTON (depan) dan Bottas menguasai sesi latihan bebas. FOTO AFP
HAMILTON (depan) dan Bottas menguasai sesi latihan bebas. FOTO AFP
AFP

LEWIS Hamilton memulakan pemburuan untuk menyamai rekod tujuh gelaran dunia apabila mendominasi sesi latihan bebas Grand Prix Austria.

Tiga bulan selepas pembatalan pusingan pembuka tirai di Australia dan enam bulan sejak kali terakhir perlumbaan dianjurkan, segala-galanya kembali normal dan Mercedes menguasai sesi latihan bebas apabila Valtteri Bottas turut mencatat masa kedua terpantas.

"Sangat teruja dapat kembali semula," kata Hamilton yang sedang berusaha menyamai rekod tujuh gelaran dunia seperti dicapai Michael Schumacher.

"Sudah lama saya menantikan saat ini, amat hebat dapat memandu jentera baru buat kali pertama sejak Februari.

"Ia jauh berbeza berbanding ketika sesi ujian di Silverstone, Februari lalu," katanya.

Hamilton menambah: "Apa yang penting ialah prestasi jentera amat baik. Inilah apa yang saya rasai ketika ini berbanding tahun lalu.

"Jelas sekali kami terus menunjukkan peningkatan dan semakin positif."

Sementara itu, stewards perlumbaan mengesahkan sistem dual-axis steering (DAS) Mercedes boleh digunakan sekali gus menolak protes yang dilakukan oleh Red Bull.

Selepas Hamilton dan Bottas mendominasi sesi latihan bebas, Red Bull disahkan melakukan protes ke atas Mercedes.

Bagaimanapun, pegawai perlumbaan berkata, pasukan juara dunia itu tidak melanggar peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 9:39 AM