Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (tengah) bersama pemain KUFC ketika menjulang Piala Liga M3. FOTO File NSTP
Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (tengah) bersama pemain KUFC ketika menjulang Piala Liga M3. FOTO File NSTP
BERNAMA

KELANTAN United (KUFC) dijangka kembali menjalani latihan di padang bermula esok selepas mendapat kelulusan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Setiausaha eksekutifnya, Wan Mohd Zul Ikman Wan Ab Aziz berkata, kelab berkenaan menerima surat kelulusan daripada MFL semalam selepas hampir empat bulan menangguhkan sesi latihan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kelulusan kepada kelab itu diberikan berdasarkan semakan terhadap dokumen yang diserahkan kepada MFL bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh badan itu dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara perkara yang diperlukan untuk melengkapkan dokumen bagi mendapat kelulusan kembali berlatih di padang ialah keputusan ujian saringan Covid-19 pemain dan jurulatih, tempat latihan berdaftar dan melantik pegawai penyelaras.

"Dengan kebenaran itu, ia membolehkan pasukan melakukan persiapan awal bagi mengharungi saingan Liga M yang akan disambung kelak," katanya.

Bermula 15 Jun lepas, kerajaan membenarkan pasukan bola sepak untuk kembali menjalani latihan di padang jika mematuhi SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk aktiviti sukan.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zul Ikman berkata, kelab itu dengan kerjasama Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) baru-baru ini telah melakukan proses membasmi kuman Stadium Sultan Muhammad IV, tempat latihan berdaftar KUFC.

Katanya, pihak pengurusan tertinggi kelab juga mahu semua pegawai dan pemain sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MFL, MKN dan kerajaan dalam usaha bersama mengekang penularan Covid-19.

"Jangan lalai sehingga mengabaikan SOP yang boleh menyebabkan kelab dan pasukan dikenakan hukuman, sekali gus kebenaran menjalani latihan ditarik balik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 3:28 PM