KEM Barcelona dikatakan kembali bergolak selepas mereka mencatat keputusan seri dengan Celta Vigo. FOTO AFP
KEM Barcelona dikatakan kembali bergolak selepas mereka mencatat keputusan seri dengan Celta Vigo. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Barcelona, Quique Setien mengakui hubungannya dengan pemain berada dalam keadaan baik, walaupun ada laporan menyatakan berlakunya suasana kurang harmoni di bilik persalinan dan ketegangan antara Lionel Messi bersama pembantunya, Eder Sarabia.

Suasana tegang dilaporkan berlaku selepas Barca mencatat keputusan seri 2-2 dengan Celta Vigo Sabtu lalu dan keputusan itu membolehkan Real Madrid memintas mereka dengan kelebihan dua mata untuk berada di punca liga sebaik mengalahkan Espanyol.

Sedutan rakaman juga menunjukkan Messi tidak mempedulikan Sarabia, apabila pemain antarabangsa Argentina itu tidak mempedulikan arahan yang diberikan pembantu Setien itu ketika rehat.

Apa yang berlaku itu hadir ketika Barcelona akan menanti kunjungan Atletico Madrid Rabu ini dan sekali lagi kesilapan bakal memberi kesan kepada mereka untuk meraih gelaran juara.

"Kontroversi sering berlaku, sama seperti kehidupan kita, ini kerana kita semua mempunyai pandangan sendiri dalam pelbagai perkara termasuk dari sudut berfikir.

"Bagaimanapun, ini perkara biasa. Ia bukan perkara mudah untuk pemain mengawalnya. Anda akan mempunyai pandangan sendiri dan paling penting adalah untuk meyakinkan semua orang sambil mempertahankan keputusan anda.

"Ia adalah semula jadi. Saya rasa dari segi komunikasi semuanya dalam keadaan terkawal dan saya tidak menumpukan kepada keadaan tertentu," kata Setien.

Bercelona mendahului 2-1 ketika berdepa Celta di Balaidos namun dua minit sebelum tamat Iago Aspas menjaringkan gol melalui sepakan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 11:20 PM