AZIZULHASNI pelumba terbaik negara setakat ini. FOTO AFP
AZIZULHASNI pelumba terbaik negara setakat ini. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


"Habislah saya kali ini, mampukah saya layak ke Olimpik? bolehkah saya terus mengayuh basikal? adakah saya akan kehilangan kaki?"

Itu yang diceritakan oleh jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang selepas dia mengimbau semula kenangan pahit tragedi di Siri Piala Dunia Klasik di Manchester 2011 yang mengakibatkan kakinya tertusuk serpihan kayu trek.

"Doktor yang merawat saya ketika itu berkata saya sangat bertuah kerana serpihan yang tembus di betis tidak mengenai saraf utama," katanya dalam dokumentari 'Game Breakers' bersama Olympic Channel semalam.

Selepas berjaya sembuh dan melayakkan diri ke Olimpik London, Azizulhasni berterus-terang bahawa dia sangat kecewa ketika di temasya berkenaan.

"Saya sangat kecewa apabila tidak berjaya mencapai sasaran di London. Selepas pulang ke tanah air saya tidak menonton kembali ulangan final keirin itu hampir tiga bulan," katanya.

Bagaimanapun, Azizulhasni bangkit semula empat tahun kemudian di Olimpik Rio dan berjaya mara ke saingan akhir keirin.

"Keadaan ketika itu sangat tegang apabila perlumbaan terpaksa dimulakan semula sebanyak dua kali. Bagaimanapun, perancangan saya adalah tetapkan kesabaran," katanya.

Azizulhasni ketika itu berjaya menebus kegagalan London dengan menjadi atlet berbasikal pertama meraih pingat di Olimpik selepas membawa pulang gangsa.

"Sukan berbasikal sangat kecil ketika saya mula-mula menyertainya sebelum ini, tapi sekaranga ia berkembang di Malaysia.

"Kita juga ada beberapa pelumba remaja akan menyinar dan saya mahu menjadi mentor kepada mereka agar legasi saya dapat disambung.

"Walaupun Malaysia negara kecil tapi saya percaya kita mampu untuk melahirkan ramai juara dunia," katanya yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:19 PM