COSTA meraikan jaringan dengan mengangkat jersi Torrecilla yang baru menjalani pembedahan ketumbuhan otak bulan lalu. FOTO Agensi
COSTA meraikan jaringan dengan mengangkat jersi Torrecilla yang baru menjalani pembedahan ketumbuhan otak bulan lalu. FOTO Agensi
AFP

DIEGO Costa menjaringkan gol pertamanya sejak Oktober lalu namun Atletico Madrid terlepas peluang untuk melonjak kelompok empat teratas La Liga selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Athletic Bilbao sebentar tadi.

Costa meraikan jaringannya dengan menunjukkan jersi, Virgina Torrecilla, pemain skuad wanita Atletico yang baru saja menjalani pembedahan ketumbuhan otak bulan lalu.

Gol penyamaannya hadir dua minit selepas Ikan Muniain meletakkan Bilbao di depan pada hujung separuh masa pertama dan kedua-dua pasukan buntu mencari gol kemenangan di Stadium San Mames yang kosong.

Ia adalah antara aksi yang sukar buat Atletico namun mereka terlepas peluang keemasan selepas dua lagi pasukan memburu kelompok empat terbaik, Valencia dan Getafe gagal mencatat kemenangan kelmarin.

Pasukan bimbingan Diego Simeone itu kekal di tangga keenam, berkongsi sama mata dengan Getafe dan Real Sociedad yang berada di atas mereka.

Bilbao pula kekal di tangga ke-10, lima mata di belakang pasukan ketujuh, Valencia.

Tindakan Costa meraikan jaringan tanda sokongan kepada Torrecilla jelas sekali mendapat perhatian pemain berkenaan di Twitter.

"Saya hilang kata-kata, anda sangat luar biasa. Terima kasih di atas segalanya," kata Torrecilla di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 12:44 AM