REAKSI kecewa Niederlechner selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. FOTO Agensi
REAKSI kecewa Niederlechner selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. FOTO Agensi
Agensi

PENYERANG Augsburg, Florian Niederlechner percaya kekurangan suasana bising penyokong di stadium ketika bertemu Cologne menyebabkannya gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Augsburg menjaringkan gol menyamaan menerusi Philipp Max di hujung perlawanan selepas ketinggalan pada minit ke-85 menerusi jaringan Anthony Modeste.

Bagaimanapun, keputusan itu sepatutnya memihak kepada Augsburg jika Niederlechner berjaya menyempurnakan sepakan penalti tetapi dia gagal melakukannya selepas ia diselamatkan penjaga gol Cologne, Timo Horn pada minit ke-27.

Niederlechner percaya suasana 'berhantu' di dalam stadium menjadi punca utama kepada kegagalannya itu.

"Saya melakukan kesilapan terbesar sebagai pemain yang diberi tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti. Ia perlawanan seperti 'diselubungi hantu'.

"Kebiasaannya saya menjadi wira. Tapi hari ini saya seperti orang bodoh," katanya.

Perlawanan dilangsungkan secara tertutup bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 9:18 PM