Jadon Sancho menayangkan jersi bertulis ‘Keadilan untuk George Floyd’ selepas menjaringkan gol buat Dortmund hujung minggu lalu. FOTO AFP
Jadon Sancho menayangkan jersi bertulis ‘Keadilan untuk George Floyd’ selepas menjaringkan gol buat Dortmund hujung minggu lalu. FOTO AFP
AFP

PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino berkata, pemain bola sepak di Jerman yang menunjukkan solidariti terhadap George Floyd pada perlawanan hujung minggu lalu layak mendapat tepukan bukannya hukuman.

Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) menjalankan siasatan ke atas bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho dan Achraf Hakimi; pemain tengah Schalke dari Amerika, Weston McKennie selain penyerang Perancis dan Borussia Moenchengladbach, Marcus Thuram kerana dedikasi mereka kepada Floyd hujung minggu lalu.

Floyd maut minggu lalu selepas anggota polis kulit putih di Minneapolis didakwa menggunakan kekerasan ketika menahannya apabila menekan leher mangsa dengan lutut beberapa minit yang menyebabkan dia sukar bernafas.

Insiden berkenaan mencetuskan demonstrasi dan rusuhan di seluruh Amerika Syarikat.

"Demi mengelakkan kesangsian dalam kejohanan di bawah kelolaan Fifa, demonstrasi yang dipaparkan pemain Bundesliga baru-baru ini sepatutnya layak mendapat tepukan dan bukannya hukuman," kata Infantino dalam kenyataan Fifa.

"Kita semua harus mengatakan tidak terhadap perkauman dan segala bentuk diskriminasi. Kita semua mesti mengatakan tidak terhadap kekerasan dan segala bentuk kekerasan."

Terdahulu, Fifa mengatakan penganjur kejohanan perlu mempertimbangkan konteks di sebalik insiden itu sebelum memutuskan untuk menghukum sebarang insiden yang berlaku di atas padang.

"Fifa sangat memahami secara mendalam sentimen dan keprihatinan yang diluahkan oleh ramai pemain bola sepak dalam insiden tragik membabitkan kes George Floyd," menurut kenyataan badan induk bola sepak itu lagi.

Selepas menjaringkan gol dalam kemenangan Dortmund di Paderborn pada Ahad, pemain sayap England, Sancho memaparkan jersi bertulis 'Keadilan buat George Floyd'.

Rakan sepasukannya, Hakimi dan McKennie meluahkan perkara sama untuk keadilan, sementara pemain Perancis dan juga anak kepada pemain legenda Perancis yang memenangi Piala Dunia, Lilian Thuram, Marcus Thuram bertindak melutut selepas menjaringkan gol buat Gladbach bagi memperingati kematian Floyd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 11:23 AM