SANCHO (kiri) meledakkan gol kedua peribadinya menewaskan penjaga gol Paderborn, Zingerle di Banteler Arena awal pagi tadi. FOTO AFP
SANCHO (kiri) meledakkan gol kedua peribadinya menewaskan penjaga gol Paderborn, Zingerle di Banteler Arena awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

PEMAIN sayap England, Jadon Sancho melakukan hatrik dan mendedahkan mesej protes 'Keadilan untuk George Floyd' ketika membantu Borussia Dortmund membelasah pasukan tercorot liga, Paderborn 6-1 awal pagi tadi.

Kemenangan besar itu membantu Dortmund untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Bayern Munich dengan perbezaan tujuh mata.

Bagaimanapun, aksi luar biasa Sancho, yang sekarang ini sudah merekodkan 17 gol, 17 hantaran menghasilkan jaringan, dibayangi dengan protes terhadap kematian lelaki kulit hitam tidak bersenjata di Amerika Syarikat

Pemain antarabangsa Maghribi, Achraf Hakimi mengibarkan jersinya untuk menyampaikan mesej sama seperti Sancho selepas menjaringkan gol keempat Dortmund di Panderborn.

Floyd, 46, meninggal dunia di Minneapolis ketika ditahan pegawai polis yang menekannya dengan lutut dalam beberapa minit, sekali gus tercetusnya protes beramai-ramai di seluruh Amerika Syarikat.

"Kami memberikan segalanya untuk memenangi setiap perlawanan," kata penjaga gol Dortmund, Roman Buerki.

Bayern sekarang ini berada pada landasan tepat untuk merangkul kejuaraan liga kali kelapan berturut-turut tatkala hanya berbaki enam perlawanan dan Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc berkata, fokus mereka sekarang ini ialah memastikan slot melayakan diri Liga Juara-Juara secepat mungkin.

"Ia jelas Bayern akan menjadi juara selepas tamat saingan," kata Zorc.

Selepas barisan serangan Dortmund bergelut untuk memecah kebuntuan, Thorgan Hazard meledakkan gol pembukaan pada minit ke-54 hasil hantaran Emre Can.

Julian Brandt mencipta gerakan untuk menghasilkan gol pertama Sancho tiga minit kemudian, dengan pemain antarabangsa England itu dilayangkan kad kuning selepas menanggalkan jersinya untuk menunjukkan mesej protes kematian Floyd.

Pertahanan Paderborn, Uwe Huenemeier menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72 untuk menghidupkan peluang kebangkitan namun Dortmund membalasnya melalui tambahan empat lagi gol.

Dua minit kemudian, Sancho menjaringkan gol kedua peribadi selepas gerakan menarik Hazard.

Hakimi menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-85 melalui bantuan daripada Marcel Schmelzer, yang masuk sebagai pemain gantian.

Schmelzer menjaringkan gol kelima Dortmund apabila menyempurnakan hantaran lintang Axel Witsel pada minit ke-89.

Sancho melengkapkan hatrik pertama dalam kariernya apabila membawa bola ke dalam petak penalti sebelum meledakkan rembatan leret menewaskan penjaga gol Paderborn,

Leopold Zingerle.

Sebelum itu, dalam aksi semalam Borussia Monchengladbach berjaya membelasah Union Berlin 4-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 9:33 AM