MCKENNIE antara atlet yang mengutuk insiden ke atas Floyd. FOTO Agensi
MCKENNIE antara atlet yang mengutuk insiden ke atas Floyd. FOTO Agensi
AFP

PEMAIN Schalke kelahiran Amerika Syarikat, Weston McKennie memakai lilitan 'Keadilan untuk George' sebagai sebahagian daripada memprotes kematian lelaki kulit hitam tanpa senjata ketika ditahan polis di Minneapolis di Amerika Syarikat.

"Saya menggunakan platfrom ini untuk menarik perhatian masalah yang sekian lama terjadi," kata McKennie yang berusia 21 tahun selepas pasukannya tumpas kepada Werder Bremen 1-0 semalam.

Pemain itu berkata, mereka harus memperjuangkan apa yang dirasakan betul dan dia percaya sudah tiba masanya masalah mereka didengari.

George Floyd meninggal dunia di Minneapolis apabila pegawai polis kulit putih menggunakan kekerasan apabila menekan leher mangsa dengan lutut hampir sembilan minit yang menyebabkan dia sukar bernafas.

Derek Chauvin didakwa atas pertuduhan membunuh tahap ketiga (secara tidak sengaja menyebabkan kematian) dan kini dalam tahanan.

Rakan sepasukan McKennie dalam skuad Amerika Syarikat, Jozy Altidore, yang beraksi untuk FC Toronto, memuji tindakan pemain Bundesliga itu dengan menyatakan tabik hormat kepadanya di Twitter.

McKennie adalah ahli sukan antara ahli sukan Amerika Syarikat menyatakan protes terhadap insiden berkenaan tatkala sebelum ini bintang tenis wanita negara berkenaan, Coco Gauff memuatnaik video TikTok di Twitter miliknya, dengan mempersoalkan adakah dia akan menjadi mangsa yang seterusnya.

McKennie membesar di Texas namun menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Jerman dan menyertai Schalke sejak remaja selepas berhijrah dari Akademi Dallas pada 2016.

Seorang lagi bintang tenis yang juga juara dua kali Grand Slam, Naomi Osaka turut mengutuk insiden berkenaan melalui akaun Instagram miliknya.

"Disebabkan ia tidak berlaku kepada anda, bukan bermakna ia tidak berlaku langsung," kata Osaka yang berdarah campuran Jepun dan Haiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 11:45 AM