Kejohanan olahraga KOM di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO File NSTP
Kejohanan olahraga KOM di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


LATIHAN ringan dan hanya terhad di rumah tidak boleh membantu atlet untuk mengekalkan prestasi mereka sekali gus mendorong Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan mereka berlatih secara konsisten di luar kediaman.

Presidennya Datuk SM Muthu berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi merangka SOP berkenaan untuk dikemukakan kepada pihak berkaitan.

Beliau berkata, KOM sedia maklum keselamatan menjadi keutamaan namun berharap diberikan sedikit kelonggaran kepada atlet untuk melakukan latihan lebih berat bagi memastikan mereka kembali kepada tahap sebelum ini.

Presiden KOM Datuk SM Muthu. FOTO File NSTP
Presiden KOM Datuk SM Muthu. FOTO File NSTP

"Pada masa sama, KOM juga akan menghantar permohonan kepada MSN dan ISN untuk memberi kebenaran menggunakan kemudahan yang terdapat di Bukit Jalil untuk atlet berlatih.

"Kami juga akan pastikan atlet mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan dan mematuhi mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.

"Sekarang atlet masih lagi berlatih di rumah dan ada antara mereka tidak sabar untuk kembali menjalani latihan dengan lebih sistematik di MSN dan ISN," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, walaupun kerajaan Malaysia membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati mengikut SOP ketat mulai 4 Mei lalu namun beberapa aktiviti membabitkan sukan akan tetap dihadkan.

Antaranya sukan seperti bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan dalaman dan luar juga adalah tidak dibenarkan.

Selain itu aktiviti sukan yang membabitkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dalam lain-lain risiko jangkitan adalah tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 9:09 PM