MEGAT berkata PSC memutuskan membatalkan semua acara sukan pada tahun ini. FOTO Amirudin Sahib
MEGAT berkata PSC memutuskan membatalkan semua acara sukan pada tahun ini. FOTO Amirudin Sahib
Syazwan Msar


PENGANJURAN Sukan Para ASEAN 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 9 Oktober depan dibatalkan berikutan kesan daripada penularan pandemik Covid-19.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menerusi kenyataan media berkata, pihak Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) memutuskan membatalkan semua acara sukan pada tahun ini sekaligus menarik balik peruntukan disediakan untuk penganjuran sukan itu.

Beliau berkata, MPM mengetahui perkara terbabit menerusi laporan sebuah portal berita Filipina iaitu Mindanao Times semalam.

"Susulan laporan itu, Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PHILAPGOC), Michael Barredo dalam satu kenyataan kepada media Filipina hari ini mengakui pihaknya akur dengan keputusan terbabit dan kemungkinan besar Filipina tidak akan menganjurkan temasya berkenaan.

"Perkara itu juga akan dipanjangkan kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk membolehkan perbincangan diadakan oleh majlis tertinggi mengenai situasi dan masa depan Sukan Para ASEAN di mana Malaysia juga sebahagian daripada negara ahli APSF.

"Sehubungan itu, pihak MPM akan mendapatkan APSF secepat mungkin untuk mengetahui status sebenar berhubung penganjuran Sukan Para ASEAN 2020," katanya, di sini.

Selain itu, beliau juga berkata, berita berkenaan jelas mengecewakan barisan atlet para negara dan juga persatuan sukan kerana ia adalah antara temasya paling dinanti-nantikan semua pihak.

"MPM sentiasa menghormati keputusan PSC dan PHILAPGOC jika benar ia dibatalkan berikutan isu pandemik Covid-19.

"Soal keselamatan serta kesihatan atlet dan pegawai kontinjen perlu diutamakan kerana nyawa setiap individu lebih bernilai daripada segala-galanya. Selaku penaung badan persatuan sukan para di Malaysia, maka menjadi tanggungjawab MPM untuk menjaga kebajikan dan melindungi nyawa setiap atlet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:46 PM