Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil. FOTO File Agensi
Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil. FOTO File Agensi
Agensi

ARSENAL belum mengadakan perbincangan bersama Mesut Ozil berhubung lanjutan kontrak di Emirates, dengan pemain yang menerima gaji £350,000 (RM1.90 juta) seminggu itu mempunyai baki kontrak selama setahun lagi.

Ozil, 31, mencetus kontroversi minggu lalu kerana enggan menerima pemotongan gaji berikutan pandemik Covid-19, di sebalik menjadi pemain Gunners yang dibayar gaji paling tinggi.

Tawaran mewah perancang tengah Jerman hanya sah sehingga musim panas 2021, bagaimanapun, ia bermakna dia boleh berunding untuk perpindahan ke luar secara percuma pada awal tahun depan.

Menurut ESPN, masa depannya di Utara London makin tidak menentu dengan Arsenal belum lagi menawarkan kontrak lanjutan.

Dipercayai Gunners memaklumkan Ozil boleh pergi musim panas lalu apabila bekas pengurus Unai Emery, yang dipecat dan digantikan dengan Mikel Arteta Disember lalu, menganggapnya lebihan daripada keperluan.

Walau bagaimanapun, pada penghujungnya gaji tinggi pemain berkenaan menyebabkan Arsenal sukar mencari pembelian daripada mana-mana kelab yang sesuai.

Arteta mengembalikan moral Ozil untuk beraksi di Emirates, meletakkannya dalam kesebelasan utama dalam kesemua 10 perlawanan Liga Perdana ketika dia mengambil alih tugas.

Namun kelab berkenaan dilaporkan mengkaji potensi kontrak baharu ketika tiada lagi sebarang usaha dilakukan untuk dilanjutkan.

Ozil menerima kritikan hebat terhadap keputusannya untuk tidak menerima potongan gaji di Arsenal, yang telah mengesahkan majoriti pemain mereka bersetuju dengan pemotongan sehingga 12.5 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 10:52 AM