Ibu pejabat Fifa di Zurich. FOTO File AFP
Ibu pejabat Fifa di Zurich. FOTO File AFP
AFP

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mencadangkan untuk membenarkan lima pemain gantian dalam setiap perlawanan apabila saingan kembali bersambung selepas ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Langkah itu bertujuan untuk membantu pemain supaya kekal cergas apabila dijangka berdepan jadual perlawanan padat.

Menurut jurucakap Fifa, badan induk bola sepak dunia itu sudah pun menghantar cadangan berkenaan kepada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Ifab) bagi mendapatkan kelulusan sebelum ia boleh dilaksanakan dalam semua saingan liga kebangsaan.

"Apabila saingan kembali bersambung, jadual perlawanan akan menjadi padat berbanding kebiasaan.

"Keselamatan pemain adalah salah satu keutamaan Fifa. Salah satu kebimbangan kami adalah risiko kecederaan yang bakal dihadapi pemain jika mengharungi terlalu banyak perlawanan," katanya.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Fifa sudah menghantar cadangan kepada Ifab untuk melonggarkan Undang-Undang 3 buat sementara waktu bagi membolehkan lebih ramai pemain gantian yang dibenarkan dalam satu perlawanan.

Setiap pasukan boleh membuat lima pertukaran pemain dalam tempoh sebenar perlawanan dan ditambah dengan penggantian untuk pemain keenam ketika masa tambahan.

Ifab perlu menilai cadangan itu secepat mungkin memandangkan ada liga yang dijangka bermula bulan depan selepas terpaksa ditangguhkan berikutan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 9:54 AM