Rekaan jersi Luigi kanak-kanak berusia enam tahun yang memenangi pertandingan kelab bola sepak Itali, Pescara.
Rekaan jersi Luigi kanak-kanak berusia enam tahun yang memenangi pertandingan kelab bola sepak Itali, Pescara.
Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Itali gembira selepas reka bentuk jersi bola sepaknya diiktiraf oleh kelab profesional, Pescara.

Luigi D'Agostino mengalahkan kanak-kanak lain dalam satu pertandingan yang dianjurkan kelab berkenaan bagi peminat muda, dengan tujuan menghilangkan kebosanan berada di dalam rumah ketika perintah berkurung berikutan Covid-19 yang melanda negara itu.

Tema pertandingan itu adalah “menghindari wabak Covid-19”.

Reka bentuk ikan lumba-lumba kanak-kanak lelaki itu akan dipakai oleh kelab Serie B Itali pada musim depan.

Kelab The Pescara - dengan nama penuhnya Pescara Calcio 1936 - beraksi liga utama Itali, Serie A, buat tujuh musim dalam sejarah kelab itu.

Pescara ketika ini memakai jersi berbelang biru dan putih. FOTO Agensi.
Pescara ketika ini memakai jersi berbelang biru dan putih. FOTO Agensi.

Maskot kelab itu adalah ikan lumba-lumba - kelab berkenaan beraksi di bandar Adriatic yang popular dengan resort dikelilingi pantai.

Kelab berkenaan menayangkan jersi rekaan Luigi di laman web mereka.

Pembekal kit sukan Itali, Errea akan mencetak jersi berkenaan dan mempelawa Luigi untuk meluangkan masa dalam satu hari istimewa di ibu pejabat mereka di Parma, untuk melihat bagaimana jersi baharu pasukan dihasilkan.

Pertandingan itu diadakan semata-mata sebagai permainan kanak-kanak menggunakan grafik Errea tapi popularitinya di sosial media menjadikan ia sebagai projek perniagaan, lapor media Itali.

Jutaan masyarakat di Itali tidak dibenarkan meninggalkan rumah masing-masing melainkan mempunyai alasan yang kukuh - sejak perintah berkurung dilaksanakan pada 9 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 10:11 PM