UNITED tidak berminat mendapatkan Kane. FOTO Agensi
UNITED tidak berminat mendapatkan Kane. FOTO Agensi
Agensi

MANCHESTER United tidak akan berbelanja besar untuk mendapatkan Harry Kane kerana Ole Gunnar Solskjaer percaya beliau sudah mempunyai penyerang berkaliber.

Pemain itu adalah Marcus Rashford yang baru berusia 22 tahun berbanding Kane yang bakal berumur 27 tiga bulan lagi sekali gus Solskjaer sedar dia mampu menggunakan khidmat Rashford lebih lama di barisan depan.

Rashford pula melalui musim yang cemerlang apabila meledak 19 gol sebelum kecederaan belakang pada Januari lalu membantutkan kemaraannya.

Bagaimanapun dia akan kembali cergas pada baki sembilan perlawanan lagi apabila aksi bola sepak bersambung semula selepas ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Solskjaer membentuk Anthony Martial kepada peranan lebih baik apabila bintang Perancis itu berjaya menjaringkan empat gol daripada enam perlawanan terakhir untuk keseluruhan 16 gol.

Itu satu lagi sebab mengapa United berasakan tidak perlu berbelanja besar untuk membeli Kane.

Solskjaer juga dapat melihat masa depan cerah Mason Greenwood dan tidak mahu membantutkan perkembangan pemain berbakat itu.

Pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan 12 gol musim ini dan Solskjaer sendiri menyatakan Greenwood adalah penyerang terbaik kelab itu.

Nilai Kane yang dianggarkan sekitar £200 juta (RM1.08 bilion) juga adalah satu lagi sebab utama mengapa United enggan mendapatkan pemain itu yang sering mengalami kecederaan sejak dua tahun lalu.

Solskjaer sememangnya masih mencari seorang penyerang namun kelab itu tidak akan berbelanja besar, sebaliknya akan mendapatkan barisan pemain muda yang berminat untuk bermain dengan kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 8:31 AM