Hafizh lega KBS salurkan bantuan.
Hafizh lega KBS salurkan bantuan.
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui berasa lega dengan dana yang sudah diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantunya mengharungi saingan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Jelas pelumba Aspar itu, dengan berita terbaharu itu, ia meningkatkan motivasi dirinya untuk lebih fokus pada perlumbaan sebenar apabila bersambung kelak selepas ditangguhkan berikutan Covid-19 ketika ini.

"Alhamdulillah, saya sudah pun bercakap dengan pihak KBS. Insya-Allah dalam masa terdekat KBS akan menyalurkan dana itu menerusi SIC (Litar Antarabangsa Sepang).

"Sekarang saya boleh terus kekal fokus menjalani latihan ringan di rumah terlebih dahulu. Berita terbaru ini membolehkan saya tidak perlu lagi memikirkan soal kewangan.

Hafizh menunggang jentera Moto2. FOTO Aspar
Hafizh menunggang jentera Moto2. FOTO Aspar

"Terima kasih kepada KBS dan penaja lain yang banyak membantu saya. Sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik untuk saingan musim ini.

"Soal berapa jumlah dana itu, tidak perlulah saya dedahkan. Apapun saya berharap segala-galanya akan kembali pulih seperti biasa dan dapat meneruskan perlumbaan di MotoGP," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, KBS menerusi satu kenyataan berkata, dana itu akan diserahkan melalui SIC sebagai badan pemantau program pembangunan sukan permotoran di negara ini.

KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sudah memaklumkan perkara itu kepada Hafizh mengenai kelulusan penyaluran dana bagi membantu menampung kos perlumbaannya bermula bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 10:50 PM